Pelawat Singapura perkukuh pemulihan sektor pelancongan

28 April 2022

(Gambar fail) Tambak Johor menuju ke Johor Bahru. – NSTP/ZULKARNAIN AHMAD TAJUDDIN

KUALA LUMPUR: Perunding hartanah, CBRE Asia Pacific menjangkakan pemulihan pelancongan Malaysia pada tahun ini akan didorong sebahagian besarnya oleh kedatangan semula pelancong Singapura berikutan pembukaan sempadan antara kedua -dua negara.

Firma itu dalam satu kenyataan hari ini memberitahu Singapura telah menjadi pasaran utama kepada Malaysia, menyumbang purata 46 peratus daripada jumlah ketibaan antara 2015 dan 2019.

Pengerusi CBRE/WTW Foo Gee Jen berkata tahap keyakinan yang semakin meningkat di kalangan operator pelancongan, ditambah pula dengan prosedur kemasukan, akan memacu permintaan terhadap produk pelancongan.

“Perjalanan perniagaan termasuk perbelanjaan rekreasi di pusat-pusat peranginan di Langkawi (Kedah) serta pulau-pulau percutian yang lain selain kadar kepenghunian akan menyaksikan kenaikan secara beransur-ansur selepas kebimbangan terhadap angka kes Covid-19 berkurangan, yang sebelum ini mewujudkan psikologi penghalang,” katanya yang mencerminkan pandangan CBRE Asia Pasifik dalam laporan Prospek & Unjuran Pasaran Perhotelan Kuala Lumpur 2022.

Laporan itu menyatakan dengan pasaran pelancongan domestik yang kekal berdaya tahan sepanjang pandemik serta ditambah pula dengan populariti Malaysia sebagai destinasi pelancongan halal, Kuala Lumpur bersedia bagi meraih manfaat pembukaan semula negara ke arah perjalanan antarabangsa.

Ketua Perhotelan dan Hospitaliti CBRE untuk pasaran modal Asia Pasifik, Steve Carroll berkata Kuala Lumpur telah menjadi neksus yang agak mantap untuk perjalanan perniagaan dan riadah di rantau ini.

“Seperti kebanyakan hab perjalanan, industri perhotelan di bandar itu terpaksa menangani cabaran yang dibawa oleh pandemik.

“Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi yang kukuh di bandar berkenaan termasuk rancangan kerajaan bagi menghidupkan semula industri pelancongannya, ditambah pula dengan peningkatan asas serta perkembangan infrastruktur yang ketara telah menjadikan pasaran perhotelan Kuala Lumpur sebagai calon utama untuk pelaburan pada 2022 dan seterusnya,” katanya.

Kuala Lumpur telah mencatatkan trajektori menaik di RevPar hotel (pendapatan setiap bilik yang ada) pada suku keempat 2021, dan CBRE menjangkakan RevPAR akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang dengan kemasukan jenama antarabangsa dalam pasaran selain penyiapan beberapa projek hotel mewah.

Firma itu menyatakan bahawa hotel-hotel bandar berskala pertengahan terus mengekalkan margin operasi kasar yang sihat iaitu kira-kira 40 hingga 50 peratus, sejajar dengan pasaran lain yang kekal kukuh di rantau ini seperti Singapura.

– Bernama

Source: Berita Harian, April 28 2022